KURSUS PENGGUNAAN PERALATAN HIGIEN

Pusat Pungurusan Persekitaran Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (CMeOSH) telah mengadakan Kursus Penggunaan Bagi Peralatan Higien pada 14 -15 Jun 2020 di Pejabat CMeOSH, UMK Kampus Bachok. Kursus ini dikendalikan oleh Pengarah CMeOSH iaitu YBhg. Prof. Ir. Ts. Dr Ahmad Rasdan Bin Ismail dan Penolong Pendaftar CMeOSH Cik Norhidayah Binti Mat Sout. Kursus ini juga telah dihadiri oleh staf CMeOSH dan Ts Dr Nor Hakimin bin Abdullah selaku Pakar Industri Higien Perlindungan Sinaran, Jawatankuasa Persekitaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Induk (JPKKPI) yang telah dilantik oleh UMK.

Tujuan kursus ini dijalankan bagi memahami tentang penggunaan peralatan higien dan selaras mematuhi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994  Seksyen 15 (2) (c) dalam melaksanakan permonitoran dalaman di Universiti Malaysia Kelantan. Antara peralatan higien yang dicuba oleh Ts Dr Nor Hakimin bin Abdullah yang juga Pegawai Perlindungan Sinaran (PPS) UMK adalah MultiRAE. MultiRAE adalah pengesan gas pelbagai fungsi yang menggabungkan keupayaan pemantauan berterusan untuk sebatian organik berbahaya, gas toksik dan mudah terbakar, dan pengesan sinar gamma. Peralatan MultiRAE tanpa wayar menyediakan bacaan masa sebenar (real-time) pada instrumen dari mana-mana lokasi untuk tindak balas yang pantas dan segera. MultiRAE mampu meningkatkan keupayaan pemantauan dalaman UMK untuk potensi gas dan sinaran berbahaya yang wujud di kawasan kampus.

Kursus selama 2 hari ini ternyata telah berjaya memberikan pendedahan dan meningkatkan pemahaman para peserta berkaitan penggunaan peralatan higien dan sekali gus dapat membantu dalam melaksanakan permonitoran dalaman di Universiti Malaysia Kelantan.

Disediakan oleh:

ChM Ts. Dr Nor Hakimin Bin Abdullah